Thursday, 25 September 2014

Puasa Sunat Hari 'Arafah



Puasa hari Arafah, 9 Dzulhijjah.  Ia disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji, iaitu bagi yang bukan jemaah haji.  

Terdapat beberapa kelebihan berpuasa pada Hari 'Arafah dan keistimewaannya. Diantaranya ialah:

1. Diampuni dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.
Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah SallAllahu `Alaihi Wa Sallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة
“Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”

(HR Muslim)


.

2.  Hari Kemuliaan


Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah SWT telah bersumpah dengan hari Arafah.
Firman Allah SWT:

وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُ‌وجِ ﴿١﴾ وَالْيَوْمِ الْمَوْعُودِ ﴿٢﴾ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ ﴿٣

“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.”  (Surah Al-Buruj: 1-3)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita.” (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary).
.
Begitu juga Allah SWT telah bersumpah dengan kebesaran hari mulia ini. FirmanNya:

وَالْفَجْرِ‌ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ‌ ﴿٢

“Demi waktu Fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”  (Surah Al-Fajr: 1-2)
.
Menurut Abdullah bin Zubair: “Dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban adalah termasuk hari Arafah.” (At-Tabary).
.
.

3.  Hari Disempurnakan Agama-Nya


Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَ‌ضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).
.
.

4.  Hari Bulan Suci


Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ‌ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ‌ شَهْرً‌ا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضَ مِنْهَا أَرْ‌بَعَةٌ حُرُ‌مٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” 
(Surah At-Taubah: 36).
.
.

5.  Hari Beramal Soleh


Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ

“Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid).”  (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah) “.
.
.

6.  Hari Pembebasan


Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة

“Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.”

(HR Muslim)

Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.
.
.

7.  Hari Permohonan Doa


Hari Arafah adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Pada hari pengampunan yang agung ini betapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …” (Riwayat at-Timizi).



Niat Puasa Hari Arafah
"Sahaja aku berpuasa sunat Hari Arafah 9 Zulhijjah kerana Allah Taala."

Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa.  Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan supaya tetap kuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut.

Oleh itu, ayuhlah kita rebut peluang untuk berpuasa sunat di hari 'Arafah ini bersamaan dengan 4 Oktober, Sabtu. Jom kita puasa! ^_^